Peralatan pasukan bola sepak England dicuri menjelang aksi Piala Dunia
KANSAS CITY – Skuad kebangsaan England dikejutkan insiden tidak disangka-sangka apabila sebahagian peralatan latihan mereka hilang dipercayai akibat dicuri sebelum ketibaan pasukan itu di Kansas City.
Kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan yang membawa peralatan pasukan ke pusat latihan di Swope Soccer Village dipecah masuk.
Menurut maklumat Persatuan Bola Sepak England, barang-barang yang dipercayai hilang adalah peralatan latihan seperti bola dan but manakala selebihnya sedang diperincikan.
Insiden itu berlaku ketika Pengurus England, Thomas Tuchel bersama barisan pemain dijadualkan tiba di Kansas City hari ini manakala peralatan berkenaan sepatutnya tiba lebih awal bagi melancarkan persiapan pasukan.
Pihak polis yang berhubung dengan Persatuan Bola Sepak England telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan difahamkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Jurucakap Polis Kansas City berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan kehilangan peralatan daripada sebuah kenderaan milik pasukan yang tiba di bandar itu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti barangan yang hilang serta pihak yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Insiden tersebut berkemungkinan menjejaskan sebahagian persiapan England menjelang perlawanan pembukaan mereka menentang Croatia pada Rabu depan.
England dijadual memulakan sesi latihan penuh pertama mereka di Kansas City esok sebagai persiapan menghadapi cabaran Piala Dunia 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








