BERITA SEMASA

Mahfuz Omar jawab Abdul Hadi, tolak politik ketakutan dan seru Melayu bina masa depan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP meneruskan usaha penjajah untuk menghapuskan Melayu dan Islam sebagai naratif politik berasaskan ketakutan.

Menurut Mahfuz, naratif sedemikian bukan sahaja melampau, malah berisiko mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, dakwaan bahawa DAP, AMANAH dan orang Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) menjadi alat DAP, selain dakwaan Islam dan Melayu sedang terhakis, tidak seharusnya digunakan untuk menakutkan rakyat.

“Kalau Melayu dan Islam sedang dihapuskan, apa sudah jadi kepada Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan Melayu dalam Perlembagaan?

“Jangan jadikan rumah yang masih kukuh seolah-olah sudah terbakar hanya untuk menakutkan penghuninya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz turut menolak dakwaan bahawa DAP mempunyai kaitan dengan ejen penjajah serta usaha menyamakan DAP dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

Katanya, Malaysia mempunyai Perlembagaan, institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam yang tersendiri dan tidak wajar rakyat ditakutkan dengan gambaran ancaman dari luar.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan dakwaan bahawa orang Melayu dalam PH atau AMANAH merupakan alat DAP sebagai penghinaan terhadap kemampuan orang Melayu membuat pertimbangan politik sendiri.

“Siapa beri Pak Haji dan PAS lesen menentukan siapa Melayu sebenar dan siapa Islam sebenar?

“Islam bukan milik PAS. Melayu juga bukan harta pusaka PAS,” katanya.

Mahfuz turut menegaskan bahawa kekuatan Islam perlu dibina melalui keadilan, manakala kekuatan Melayu perlu berasaskan ilmu dan kemampuan negara diperkukuh melalui perpaduan.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik penggunaan ayat al-Quran dalam membina gambaran bahawa lawan politik merupakan musuh Islam.

“Al-Quran ialah petunjuk, bukan peluru untuk ditembak kepada lawan politik,” katanya.

Mengenai cadangan penyatuan PAS dan UMNO bagi menyelamatkan Melayu, Mahfuz berkata beliau bersetuju orang Melayu perlu bersatu, namun perpaduan itu harus menjurus kepada usaha meningkatkan ilmu, ekonomi, teknologi, pendidikan serta membanteras rasuah.

Katanya, perpaduan Melayu tidak seharusnya hanya digunakan untuk pembahagian kerusi, mengumpul kuasa atau menjatuhkan lawan politik.

Mahfuz juga menolak konsep kepimpinan Melayu yang hanya berasaskan bangsa, sebaliknya menegaskan pemimpin Melayu perlu membuktikan kemampuan melalui ilmu, integriti, keadilan dan prestasi.

“Melayu akan dihormati bukan kerana orang lain dipaksa tunduk. Melayu akan dihormati kerana Melayu memimpin dengan ilmu, keadilan dan kehebatan,” katanya.

Sementara itu beliau turut memberi amaran bahawa Melayu tidak akan hilang hanya kerana bekerjasama dengan kaum lain atau menerima perubahan.

Sebaliknya, katanya, cabaran sebenar orang Melayu ialah kemiskinan, rasuah, kejahilan, keciciran pendidikan dan kegagalan kepimpinan membawa perubahan.

Mengulas perkembangan hubungan politik PAS dengan UMNO dan BERSATU, Mahfuz berkata, perubahan pendirian serta kerjasama antara parti tidak seharusnya dipersalahkan kepada DAP.

Beliau mendakwa hubungan politik PAS dengan UMNO, BERSATU dan parti-parti lain berubah mengikut keadaan politik semasa dan bukan semata-mata disebabkan campur tangan DAP.

Mahfuz berkata politik Melayu perlu beralih daripada budaya mencari musuh kepada usaha membina keyakinan dan masa depan.

“PAS mahu Melayu sibuk mencari musuh. Kami mahu Melayu sibuk membina masa depan.

“Pak Haji mahu Melayu menoleh ke belakang mencari musuh. Kami mahu Melayu melihat ke hadapan mencari peluang,” katanya.

Beliau turut menggesa orang Melayu meningkatkan penguasaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi baharu, pendidikan dan teknologi bagi memastikan mereka mampu bersaing di peringkat global.

“Jangan jadikan Melayu bangsa yang hidup dengan ketakutan. Jadikan Melayu bangsa yang dihormati kerana ilmu, ekonomi dan kehebatannya.

“Pemimpin yang hebat tidak membesarkan ketakutan rakyat. Pemimpin yang hebat membesarkan keyakinan rakyat,” katanya.

Sementara itu Mahfuz turut menyeru rakyat meninggalkan politik ketakutan dan membina masa depan berasaskan keyakinan, ilmu serta peluang.

“Daripada politik takut kita bangkit. Daripada mencari musuh, kita bina masa depan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button