Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa: Hadi Awang seru umat Islam terus bantu rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU – Bekas Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyeru umat Islam agar terus menzahirkan sokongan dan membantu rakyat Palestin bagi membebaskan negara mereka daripada cengkaman rejim zionis.
Menurut Presiden Pas itu, bantuan yang diberikan kepada rakyat Palestin itu boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Ujar Abdul Hadi, adalah penting bagi semua pihak berkerjasama dalam memberikan sokongan kepada rakyat Palestin merangkumi aspek politik, ekonomi dan moral.
“Setiap orang Islam mesti membabitkan diri membantu Palestin … yang bantu berperang berperang, yang hantar dah senjata, hantar senjata, yang boleh beri duit beri duit, tak boleh beri banyak beri sikit.
“(Bagi) yang tak mampu, sekurang-kurangnya berdoa Qunut Nazilah tiap-tiap waktu sembahyang Allah SWT beri kemenangan, kekuatan kepada saudara-saudara kita yang berjihad, terima para syuhada kita , sembuhkan mereka yang cedera… doa.
“Semua umat Islam jangan lupa berdoa agar hati kekal bersama dengan perjuangan kerana isu Palestin menjadi ibu perjuangan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa di Dataran Khairunnisa di sini, malam tadi.
Terdahulu, sebagai tanda solidariti serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin, kira-kira 2,000 orang membanjiri Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa yang berlangsung pada jam 9 malam.
Selain itu, Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa krisis yang berlaku di Palestin ketika ini adalah ujian buat semua umat Islam di seluruh dunia.
“Mudah-mudahan Allah terima segala sumbangan kita, doa kita dan hati kita bersama dengan Palestin,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








