KB Sentral lambat siap kerana Kerajaan Kelantan berhati-hati pilih kontraktor
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan berhati-hati dalam pelaksanaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong bagi mengelakkan projek berkenaan berdepan masalah lebih besar pada masa hadapan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa memilih kontraktor semata-mata untuk memastikan projek berkenaan siap mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, kontraktor yang tidak mempunyai kemampuan kewangan atau kompetensi mencukupi boleh menyebabkan projek terbengkalai atau syarikat terbabit berdepan masalah kebankrapan.
Katanya, pendekatan berhati-hati itu menyebabkan pembangunan KB Sentral mengambil masa lebih lama, namun kerajaan negeri mahu memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan baik.
“Kerajaan negeri ini berhati-hati. Kalau kontraktor tidak cukup kompeten atau tidak cukup duit, kita tidak akan buat.
“Nanti kita tanggung seperti syarikat bankrap dan sebagainya, nanti lagi lama. Kita pilih yang terbaik. Lambat tidak apa, asal jadi molek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Dr Izani berkata demikian ketika Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim.
Dr Izani berkata, pembangunan KB Sentral kini dibahagikan kepada dua fasa, iaitu kerja-kerja tanah bagi fasa pertama dan pembinaan fizikal terminal bagi fasa kedua.
Menurutnya, kerja penambakan dan kerja-kerja tanah membabitkan kos RM14 juta, manakala pembinaan terminal akan dimulakan selepas fasa pertama selesai.
Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri sedang mencari kaedah pembiayaan dan pelaksanaan yang dapat mengurangkan beban kewangan negeri, termasuk mempertimbangkan kerjasama dengan syarikat melalui konsep Build-Operate-Transfer (BOT).
“Kita cuba cari kaedah yang paling boleh menyelamatkan kewangan kerajaan negeri. Kalau akhirnya tidak ada juga, jawabnya duit kitalah,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada kontraktor dan syarikat berminat untuk mengemukakan cadangan berkaitan kaedah pembinaan serta reka bentuk KB Sentral.
Dr Izani berkata, kerja-kerja tanah projek berkenaan dijangka selesai pada Mei 2027, dengan kemajuan ketika ini direkodkan sebanyak 40.7 peratus.
Projek KB Sentral yang sebelum ini dilaporkan bernilai kira-kira RM64 juta dan disasarkan siap pada penghujung 2026, bagaimanapun berdepan perubahan jadual sehingga 2028 susulan pertukaran pelaksana, pengambilalihan semula projek serta kerja rawatan dan penstabilan tanah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








