BERITA SEMASA

Zhemin minta PAS perjelas pendirian mengenai kewangan Tabung Haji pada 2016

KUALA LUMPUR – PAS digesa tampil menjelaskan pendirian parti itu selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) sudah terjejas ketika parti berkenaan memuji tadbir urus dan prestasi kewangan institusi itu pada 2016.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, PAS juga perlu menjelaskan tindakan Ahli Parlimennya yang keluar Dewan ketika sidang khas membahaskan laporan RCI berhubung pengurusan TH, kelmarin.

Beliau berkata, pada 28 Januari 2016, Setiausaha Agung PAS ketika itu, Datuk Takiyuddin Hassan, menyatakan parti itu yakin dengan kemantapan sistem tadbir urus TH selepas bertemu menteri bertanggungjawab dan pengurusan tertinggi institusi berkenaan.

“PAS puji Tabung Haji ketika kedudukan kewangannya merosot, kemudian keluar Dewan apabila kebenaran dibahaskan. Sama ada PAS tidak memahami akaun tersebut, ataupun PAS memahaminya tetapi gagal memberitahu perkara sebenar.

“Yang pertama menunjukkan ketidakcekapan. Yang kedua menunjukkan ketidakjujuran. PAS mesti menjelaskan yang mana satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chong, laporan RCI menunjukkan TH mempunyai aset RM60.196 bilion berbanding liabiliti RM60.062 bilion pada 2015, namun tetap mengagihkan hibah RM3.220 bilion sehingga menyebabkan kekurangan RM3.086 bilion selepas pembayaran berkenaan.

Beliau berkata, keadaan lebih buruk pada 2016 apabila liabiliti TH berjumlah RM65.581 bilion mengatasi aset sebanyak RM64.321 bilion, sebelum hibah RM2.871 bilion diagihkan dan meningkatkan kekurangan kepada RM4.131 bilion.

“Angka-angka ini tidak rumit. Apabila liabiliti melebihi aset, kedudukan kewangan sesebuah institusi sudah terjejas,” katanya.

Chong berkata, laporan RCI turut mendapati kaedah pengagihan hibah antara 2014 hingga 2017 tidak mematuhi kawalan statutori, selain penggunaan amalan perakaunan kreatif bagi membolehkan hibah tinggi dibayar.

Beliau turut mempersoalkan tindakan PAS keluar Dewan ketika sidang khas Parlimen mengenai laporan RCI, sedangkan menteri berkaitan dan 39 Ahli Parlimen lain kekal membahaskan laporan itu sehingga jam 9 malam.

“PAS boleh menyoal menteri mengenai dapatan RCI, kerugian RM13 bilion, tujuh pelaburan yang mengalami kerugian keseluruhan, lima kertas siasatan serta pihak yang bertanggungjawab. Sebaliknya, PAS memilih untuk keluar Dewan,” katanya.

Chong berkata, PAS perlu menjawab sama ada menarik balik kenyataan pada 2016 bahawa TH mengamalkan tadbir urus baik dan mempunyai prestasi kewangan kukuh, selain sama ada Takiyuddin akan memohon maaf kepada pendeposit.

“Pemimpin PAS yang sama menerima penjelasan menteri pada tahun 2016, tetapi enggan kekal di Parlimen pada tahun 2026 untuk berdepan dengan bukti bahawa penjelasan tersebut ternyata salah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button