Saranan PAS undi calon BN di kerusi tidak ditandingi buka ruang kerjasama politik Melayu, Islam – Dr Akmal
MELAKA – Pemuda UMNO menyifatkan gesaan PAS supaya penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN) mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai perkembangan positif yang mampu membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara parti-parti Melayu dan Islam.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendirian yang dinyatakan PAS itu sekali gus membuka lembaran baharu ke arah usaha penyatuan ummah yang sekian lama diimpikan pemimpin Melayu demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan memberi gambaran bahawa masih wujud ruang untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti Melayu dan Islam.
“PRN Johor boleh menjadi titik permulaan kepada usaha terbabit sebelum diperluaskan ke negeri lain yang bakal berdepan pilihan raya pada masa hadapan.
“Kita melihat ini sebagai satu perkembangan positif yang perlu disambut dengan hati terbuka demi memastikan agenda memperkasakan orang Melayu dan Islam dapat diteruskan,” katanya selepas melancarkan Laman Bromeliad Kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa penyokong PN mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda BN berkata, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan hasrat parti itu untuk tidak membantu kempen calon BERSATU.
Katanya, susulan pendirian itu, UMNO berharap jentera PAS dapat membantu berkempen untuk calon BN, khususnya di kawasan yang ditandingi BERSATU.
“Kalau tak bantu kempen untuk BERSATU, (saya harap) mereka bantu calon BN.
“Justeru, saya berterima kasih dan menyambut baik hasrat itu dan semoga saranan ini menjadi titik tolak kepada permulaan yang jauh lebih baik untuk negara kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













