BERITA SEMASA

Sultan Pahang kurnia biasiswa IJN kepada dua pelajar cemerlang Pulau Tioman

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Biasiswa Institut Jantung Negara (IJN) kepada dua pelajar cemerlang dari Pulau Tioman bagi melanjutkan pengajian di Institut Jantung Negara University College (IJNUC), hari ini.

Keberangkatan baginda pada pukul 11 pagi disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Mad Taib dan Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif IJNUC, Profesor Emerita Dr Durrishah Idrus.

Menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang, pengurniaan biasiswa tersebut mencerminkan komitmen IJN dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, khususnya kepada pelajar cemerlang yang berpotensi tetapi memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan pengajian.

“Ia diharap dapat menjadi pemangkin kepada kedua-dua pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan seterusnya menyumbang kepakaran kepada pembangunan sektor kesihatan negara pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif IJN menerusi IJNUC dalam usaha membantu pelajar berpotensi tinggi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang sains kesihatan dan penjagaan kesihatan.

Pada majlis itu, dua anak jati Pulau Tioman menerima tajaan penuh daripada IJN untuk menyambung pengajian di IJNUC.

Penerima pertama, Nur Syazwani Mohammad Pazli dari Kampung Juara yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang lagi penerima, Muhammad Alif Adha Abdul Hafaz dari Kampung Air Batang, yang juga lepasan SMK Tekek, mencatat keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan SPM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button