Sultan Pahang santuni 102 anak YKM beli belah persediaan Syawal
KUANTAN – Seramai 102 anak-anak di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Negeri Pahang menerima sentuhan kasih diraja apabila disantuni Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri di Parkson East Coast Mall,di sini semalam.
Keberangkatan baginda bersama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan anakanda Tuanku menceriakan suasana apabila anak-anak YKM dari seluruh Pahang diberi peluang memilih sendiri kelengkapan Aidilfitri mereka.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Kesembilan merangkap Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Mohd Hafizuddin Mohd Ariff.
Ismail Sabri berkata, program tahunan itu memberi peluang kepada anak-anak berkenaan merasai pengalaman membeli pakaian raya sendiri sekali gus menghadirkan kegembiraan menjelang Syawal.
“Program Membeli Belah YKM membawa makna amat besar kepada anak-anak ini. Bagi sebahagian daripada mereka, ini bukan sekadar membeli baju raya, tetapi merasai kasih sayang dan perhatian yang cukup bermakna khususnya daripada Kebawah Duli Tuanku dan anakanda Tuanku.
“Keprihatinan Tuanku juga mencerminkan teras institusi Diraja Pahang itu sendiri iaitu sifat keprihatinan dan kasih sayang seorang Raja terhadap rakyatnya, terutama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Program itu turut dihadiri EXCO Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan.

Kesemua anak-anak berkenaan kemudiannya diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa di Hotel Grand Darul Makmur bersama Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang dan anakanda Tuanku.
Menurut Ismail Sabri, majlis berkenaan bukan sekadar acara berbuka puasa, sebaliknya simbol kasih sayang, solidariti dan harapan kepada anak-anak yang diuji dengan kehilangan.
“Kita mahu anak-anak ini juga menyambut Aidilfitri dengan gembira seperti rakan-rakan mereka,” katanya lagi.
Menjelang Syawal, YKM akan menyalurkan bantuan kepada 574 penerima bantuan beragama Islam di seluruh negara membabitkan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Bantuan berkenaan akan dikreditkan ke akaun penerima bermula 11 Mac 2026.
Majlis tersebut turut diserikan kehadiran barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan ADUN setempat serta kepemimpinan tertinggi negeri.
Program itu mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, agensi kerajaan negeri serta VFive Group Sdn Bhd.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








