13 tahun tidak dapat bekalan: TNB mula kerja sambungan elektrik di Kuala Sat selepas terima kelulusan
JERANTUT – Kerja-kerja penanaman tiang elektrik bagi penyambungan bekalan di Kuala Sat, di sini telah mula dilaksanakan hari ini selepas menerima kebenaran daripada pihak berkaitan.
Menurut kenyataan TNB, syarikat utiliti itu mengambil maklum mengenai isu tular berhubung permintaan penyambungan bekalan elektrik di kawasan berkenaan dan memahami keperluan elektrik sebagai kemudahan asas penting kepada kehidupan harian penduduk.
TNB menjelaskan bahawa permohonan berkaitan diterima melalui kontraktor pada penghujung Disember 2025 sebelum pihaknya mengemukakan permohonan kepada agensi berkaitan pada Januari lalu bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
“Pelaksanaan kerja di lokasi adalah tertakluk kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan termasuk aspek keselamatan, teknikal, pematuhan status tanah dan izin lalu,” menurut kenyataan itu.
TNB berkata susulan perkembangan terkini, pihaknya telah diberikan kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei lalu.
Katanya, kerja-kerja tersebut bermula hari ini dengan sasaran penyambungan bekalan elektrik dapat dimulakan pada 24 Mei ini.
Dalam pada itu, TNB menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan urusan penyambungan bekalan elektrik dapat diuruskan secara lebih teratur dan inklusif pada masa hadapan.
Terdahulu tular video sebuah keluarga menahan rombongan dinaiki Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan memohon supaya bekalan elektrik dapat disalurkan di kawasan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















