YKM anjur Larian Keluarga Malaysia 2026 di UiTM Shah Alam pada 5 Disember ini
Memasuki tahun ketiga penganjuran, acara bertemakan Luminous Run dengan slogan “Satu Langkah, Satu Hati” itu mengetengahkan konsep larian malam sejauh lima kilometer (5KM) yang menggabungkan aktiviti sukan, hiburan dan kebajikan.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran program itu bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan menyemai semangat perpaduan, malah menjadi wadah mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Penganjuran LKM bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan, malah menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19 di bawah jagaan YKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sokongan masyarakat menerusi penyertaan dalam acara itu turut membantu memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak di bawah jagaan yayasan berkenaan dapat diteruskan.
“Sehubungan itu, YKM menyeru orang ramai, khususnya mahasiswa, golongan belia, keluarga dan komuniti peminat sukan larian agar merebut peluang menyertai program ini, lebih-lebih lagi ketika tawaran pendaftaran awal masih dibuka,” tambahnya.
Ismail Sabri berkata, penyertaan orang ramai bukan sahaja memberi peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, malah membawa makna besar kepada anak-anak yang memerlukan sokongan bagi membina masa depan lebih baik.
“Setiap penyertaan bukan sahaja memberikan peluang untuk beriadah dan berhibur bersama keluarga serta rakan-rakan, tetapi turut membawa makna besar kepada anak-anak di bawah jagaan YKM yang memerlukan sokongan berterusan untuk membina masa depan mereka,” katanya.
Penganjuran tahun ini memilih UiTM Shah Alam sebagai lokasi bagi mendekatkan YKM dengan golongan mahasiswa dan generasi muda, selain membuka ruang kepada mereka untuk terlibat dalam kegiatan kesukarelawanan, kemasyarakatan serta kebajikan.
Program itu turut mendapat kerjasama Institut Pemimpin Muda UiTM, MC+ dan Malika Entertainment Management, manakala bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dikekalkan sebagai duta LKM 2026.
Selain larian yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti senamrobik, menikmati persembahan mini konsert serta memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah.
Bagi menggalakkan penyertaan, YKM menawarkan yuran pendaftaran secara berperingkat. Kadar Super Early Bird dari 26 Oktober hingga 4 November ditetapkan sebanyak RM45 bagi peserta individu dan RM35 untuk pelajar, staf serta alumni.
Bagi fasa Early Bird dari 5 hingga 16 November, yuran ialah RM50 bagi peserta individu dan RM40 untuk pelajar, staf serta alumni. Sementara itu, kadar biasa dari 17 hingga 28 November masing-masing ialah RM55 dan RM50.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket dan membuat pendaftaran menerusi pautan https://checkpointspot.asia/event/larian-keluarga-malaysia-2026.
Dalam perkembangan lain, YKM turut akan menyalurkan bantuan kepada 10 penerima berbangsa India di seluruh negara sempena sambutan Deepavali pada 8 November ini.
Bantuan itu dijadualkan dikreditkan ke akaun bank penerima masing-masing mulai 30 Oktober bagi membantu meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut perayaan bersama keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








