BERITA SEMASA

SPM 2025: 6 anak YKM raih keputusan cemerlang, bukti sokongan berterusan buahkan hasil

KUALA LUMPUR – Seramai enam daripada 32 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 baru-baru ini.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, warga YKM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Menurut Bekas Perdana Menteri itu kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya mencerminkan kekuatan jiwa, ketabahan serta keazaman tinggi dalam menempuh pelbagai cabaran kehidupan.

“Ia membuktikan bahawa dengan sokongan berterusan dan peluang yang saksama, setiap anak Malaysia mampu melakar kejayaan membanggakan,” katanya.

Enam pelajar tersebut ialah Aisyah Maharuddin yang memperoleh 10A dari Sekolah Menengah Agama Repah; Nur Aqilah Alya Mohamad (9A, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar); Nurhanani Ainan Khafizan (9A, Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib); Nurul Iffah Hafshah Irwan (8A, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu); Nur Afiqah Najla Maharin (5A, Maktab Rendah Sains MARA Bentong) serta Anis Shazrina Anuar (5A, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya).

spm
Ismail Sabri Yaakob (kanan) menziarahi kediaman pelajar tajaan YKM sebagai tanda penghargaan atas kejayaan dicapai dalam SPM 2025.

Bagi meraikan kejayaan tersebut, Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan kunjungan ke rumah Aisyah di Taman Asahan Indah, Gemencheh, selain turut menziarahi Nur Aqilah Alya di FELDA Jelai 4, Gemas yang memperoleh keputusan 9A.

Kedua-dua pelajar berkenaan menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka.

Turut hadir dalam ziarah kasih tersebut ialah Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pencapaian itu juga menunjukkan agenda pemerkasaan pendidikan dan kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada pada landasan tepat.

“Setiap kejayaan anak-anak ini adalah simbol harapan negara. Mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat bahawa masa depan negara terletak pada generasi berilmu, berdaya tahan dan berakhlak,” ujarnya.

Dalam pada itu, YKM akan terus membantu pelajar lain melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kemahiran dengan kerjasama agensi seperti MARA serta kolej kemahiran berkaitan.

Anak-anak YKM yang memperoleh keputusan 5A ke atas akan turut menerima bantuan sama pada 6 April ini yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Sehubungan itu, YKM akan terus memperkukuh inisiatif sokongan pendidikan dan pembangunan holistik bagi memastikan anak-anak ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi warganegara yang menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kejayaan tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak YKM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan serta memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button