Anggota Maritim Malaysia maut dalam insiden bot selamat dikebumikan
KUALA NERANG – Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam insiden perlanggaran bot di perairan Perlis, selamat dikebumikan malam tadi.
Menurut laporan Bernama, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini pada jam 9.45 malam dengan istiadat pengebumian oleh Maritim Malaysia sebagai penghormatan terakhir kepada anggota berkenaan.
Terdahulu, jenazah tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.41 malam menggunakan van jenazah dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, selepas selesai proses bedah siasat.
Solat jenazah yang diimamkan Mohd Izhar Zakaria disertai ratusan jemaah, termasuk ahli keluarga, penduduk setempat dan anggota Maritim Malaysia.
Kira-kira 500 orang turut hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham sebagai simbol penghormatan terhadap khidmat dan pengorbanannya kepada negara.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, serta puluhan anggota agensi berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Isnin, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai melanggar struktur konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, berhampiran Kuala Perlis.
Ketika kejadian, mereka sedang menjalankan operasi mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








