BERITA SEMASA

Maritim Malaysia teliti penambahbaikan SOP susulan insiden maut

PADANG TERAP – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan meneliti keperluan menambah baik prosedur operasi standard (SOP), latihan dan kelengkapan operasi susulan insiden yang meragut nyawa anggotanya bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika bertugas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan dalaman akan dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca kejadian serta kelemahan yang perlu diperbaiki bagi mengelak insiden sama berulang.

Bagaimanapun katanya, proses siasatan itu mungkin mengambil masa beberapa minggu bagi membolehkan penelitian menyeluruh dilakukan.

“Setiap kejadian yang melibatkan kecederaan anggota atau kerosakan aset akan disiasat secara dalaman.

“Kita perlu mengenal pasti perkara yang boleh ditambah baik demi keselamatan warga Maritim Malaysia pada masa akan datang serta mengelak kejadian sama berulang,” katanya selepas istiadat pengebumian di Kuala Nerang, malam tadi.

Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah kira-kira pukul 9.45 malam.

maritim malaysia
Allahyarham Mohd Roshaimi.

Mohd Zawawi berkata, setiap operasi Maritim Malaysia tertakluk kepada SOP yang ditetapkan dan pematuhannya sentiasa ditekankan kepada semua anggota.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan menyeluruh dijalankan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, kejadian itu tidak akan mematahkan semangat anggota Maritim Malaysia untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Sebaliknya, sokongan serta kata-kata semangat daripada kepimpinan agensi akan terus diberikan kepada anggota, khususnya mereka yang bertugas di lapangan dan kawasan sempadan perairan.

Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia memberi jaminan akan mengutamakan kebajikan keluarga Allahyarham, termasuk membantu keperluan pendidikan dua anaknya yang masih bersekolah.

“Apa-apa keperluan berkaitan dokumentasi atau keperluan oleh keluarga arwah akan diutamakan.

“Kita akan mengikuti prosedur-prosedur yang sedia ada untuk memastikan kebajikan keluarganya sentiasa terjaga,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Isnin, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai melanggar struktur konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, berhampiran Kuala Perlis.

Ketika kejadian, mereka sedang menjalankan operasi mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button