Malaysia gesa ASEAN perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana
KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa negara anggota ASEAN memperkukuh keupayaan tindak balas bencana serantau menerusi kesiapsiagaan operasi, penyelarasan lebih berkesan dan peningkatan keupayaan angkatan tentera bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas apabila bencana melanda.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman bukan tradisional yang dihadapi rantau ini semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan besar, sekali gus memerlukan pendekatan lebih proaktif serta terselaras.
“Ancaman yang dihadapi ASEAN hari ini semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan yang lebih besar berbanding sebelum ini.
“Kita perlu mengakui bahawa ancaman bukan tradisional bukan lagi sekadar kemungkinan yang jauh. Ancaman ini nyata, berulang dan semakin sukar untuk diketepikan.
“Malaysia berpandangan bahawa ASEAN perlu mengambil inisiatif yang lebih proaktif dan terselaras bagi memperkukuh keupayaan rakyat untuk membuat persediaan, menghadapi serta pulih daripada kejutan dan krisis sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.
Katanya, keupayaan tempatan dan serantau juga perlu diperkukuh supaya tindakan bantuan dapat dilaksanakan secara berkesan ketika berdepan situasi kecemasan.
Mohamed Khaled berkata, ASEAN telah mempunyai mekanisme penting menerusi Kumpulan Siap Siaga Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (AMRG on HADR), yang menyediakan kerangka penyelarasan bantuan ketenteraan serta penempatan aset tentera ke kawasan terjejas.
Beliau berkata, keberkesanan kerjasama itu dapat dilihat menerusi tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar tahun lalu.
“Sekarang kita perlu membina kekuatan berasaskan asas yang telah tersedia bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi, menambah baik penyelarasan dan memastikan angkatan tentera kita mampu bertindak dengan pantas serta berkesan apabila bencana melanda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa ketahanan masyarakat perlu disokong usaha pencegahan dan kesiapsiagaan berterusan, khususnya ketika rantau ini berdepan ancaman yang semakin sukar diramal.
Beliau turut menyifatkan semangat solidariti dalam kalangan rakyat ASEAN, termasuk bantuan merentasi sempadan ketika bencana, sebagai antara kekuatan utama rantau ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh ADMM dan membina komuniti serantau yang lebih selamat serta berdaya tahan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan kerjasama pertahanan ASEAN bukan sekadar diukur berdasarkan mekanisme yang diwujudkan, sebaliknya melalui tahap keselamatan dan ketahanan yang dapat dinikmati rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








