BERITA SEMASA

MINDEF tubuh Jawatankuasa Penapisan Perolehan pastikan integriti urus tadbir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menubuhkan Jawatankuasa Penapisan Perolehan sebagai langkah kawalan tambahan bagi meneliti setiap perolehan sebelum dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan semua projek serta perolehan mematuhi kelulusan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, MINDEF kekal komited memperkukuh integriti dan tadbir urus khususnya dalam perolehan aset pertahanan strategik.

“Setiap peringkat dan proses perolehan sentiasa mematuhi peraturan kewangan yang berkuat kuasa. Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman MINDEF diwujudkan bagi memastikan tatacara pengurusan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Mohamed Khaled menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai langkah konkrit yang diambil MINDEF bagi mengelakkan projek strategik ketenteraan termasuk kapal tempur pesisir (LCS), terpalit isu kelewatan, ketirisan serta kos berlebihan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua permohonan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan mesti diperakukan oleh pihak pengguna akhir sama ada Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Di peringkat perkhidmatan, permohonan akan melalui semakan jawatankuasa di bawah Markas Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh ketua perkhidmatan masing-masing.

“Ia melibatkan Jawatankuasa Keperluan Operasi TD, Lembaga Pengurusan Keupayaan TLDM dan Jawatankuasa Pembangunan Keupayaan TUDM.

“Semua permohonan diteliti bagi memastikan spesifikasi serta kos selari dengan kehendak pengguna dan peruntukan yang diluluskan agensi pusat,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pelbagai kaedah pemantauan turut dilaksanakan termasuk pembabitan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan bagi memastikan proses perolehan berjalan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button