BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Rundingan MINDEF-MOF susulan dana ATM dibekukan masih berjalan – Khaled

SUBANG – Proses rundingan antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) masih dijalankan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan kementeriannya sudah dipanggil MOF untuk berbincang lanjut berhubung rundingan tersebut.

“Perkara ini memang sedang dalam perundingan. Pihak kementerian sudah dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk kita bincang.

“Perkara-perkara yang mungkin perlu untuk diberi perhatian segera kerana tidak mahu menjejaskan operasi dan juga kesiapsiagaan ATM,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan PDRM dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Anwar dilaporkan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua perolehan aset pertahanan negara dilaksanakan melalui proses yang telus, susulan dakwaan berhubung isu ketirisan membabitkan ATM baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberi jaminan meskipun dana perolehan ATM masih dibekukan, operasi dan kesiapsiagaan berjalan dengan lancar dan baik.

“Saya ingin beri jaminan soal operasi berjalan dengan lancar dan baik, soal kesiagaan angkatan tentera terus dapat kita pertahankan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button