Jual harta demi belayar, 200 penumpang kapal Odyssey akhirnya terkandas di Kemboja
PHNOM PENH – Kira-kira 200 penumpang yang membayar untuk menetap di atas kapal persiaran sambil mengelilingi dunia terkandas di Kemboja selepas pengendali kapal itu menggantung operasi susulan tekanan kewangan akibat kenaikan kos bahan api.
Kapal Odyssey milik syarikat pengendali berpangkalan di Amerika Syarikat, Villa Vie Residences itu dilaporkan meminta penumpang meninggalkan kapal ketika ia berlabuh di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja.
Timbalan Gabenor wilayah Preah Sihanouk, Long Dimanche berkata, seramai 203 penumpang dan 156 anak kapal tiba dari Thailand pada 23 Oktober lalu sebelum kapal itu dijadualkan meneruskan pelayaran ke Vietnam.
Menurutnya, penumpang hanya diberikan tempoh tujuh jam untuk mengemas barang dan turun dari kapal berkenaan.
Arahan mengejut itu menyebabkan sebahagian penumpang termasuk pesara dan pekerja jarak jauh, kehilangan tempat tinggal ketika berada beribu-ribu kilometer dari negara asal mereka.
“Sesetengah penumpang mengambil penerbangan keluar sementara yang lain kekal di bandar Sihanoukville,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa AFP.
Beliau turut memaklumkan kapal itu dijadualkan mengisi bahan api dan belayar semula pada Jumaat ini.
Villa Vie Residences sebelum ini mengumumkan penggantungan operasi di Kemboja bagi menangani peningkatan luar biasa kos bahan api susulan perang Iran.
Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, perbelanjaan bahan api bulanan bagi setiap kabin meningkat daripada purata AS$1,800 (RM7,323) kepada antara AS$6,000 (RM24,412) hingga AS$8,000 (RM32,550) di beberapa kawasan di Asia.
“Syarikat tidak boleh memindahkan peningkatan kos sedemikian kepada penumpang dengan begitu sahaja. Kenaikan ini menyebabkan model operasi semasanya berada di bawah tekanan kewangan dan sukar untuk bertahan,” menurut kenyataan itu.
Kapal Odyssey sepanjang 200 meter itu memulakan pelayaran dari Ireland Utara pada Oktober 2024 dengan menawarkan konsep kediaman terapung, membolehkan pelanggan membeli atau menyewa kabin untuk tempoh percutian atau sepanjang hayat.
Malah, sebahagian penumpang dilaporkan menjual harta benda mereka untuk bersara dan menjalani kehidupan sambil mengembara di laut.
Bagaimanapun, seorang penumpang yang mengendalikan blog pelayaran, Randy Cassingham mendakwa, kejadian itu berpunca daripada beberapa masalah operasi yang berlarutan.
Menurutnya, pelancaran pelayaran Odyssey di Belfast pernah ditangguhkan selama empat bulan, manakala jumlah penghuni kapal itu tidak pernah mencapai kapasiti maksimum 650 orang, sebaliknya hanya sekitar 350 orang pada tahap tertinggi.
Cassingham turut mengkritik tindakan syarikat yang didakwanya tidak memberikan bantuan mencukupi kepada penumpang yang terkandas.
Sebaliknya, Villa Vie berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan penghuni bagi menyelaraskan urusan turun kapal dan mengenal pasti penempatan sementara untuk mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








