Konflik Asia Barat: 283 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah
KUALA LUMPUR – Seramai 283 orang jemaah umrah rakyat Malaysia terkandas di Jeddah dan Makkah susulan gangguan penerbangan akibat ketegangan memuncak di Asia Barat.
Kumpulan jemaah di bawah kendalian Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd itu sepatutnya pulang ke tanah air hari ini, namun penerbangan Malaysia Airlines dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada jam 7 malam ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan, Izzati Ibrahim berkata, semua jemaah terbabit akan terus ditempatkan di hotel syarikat di Makkah sementara menunggu perkembangan terkini.
Menurutnya, tempahan penerbangan melibatkan Qatar Airways, Air Arabia, Etihad Airways serta Emirates (melalui Karachi) turut ditangguhkan sehingga notis lanjut.
“Selain itu, penerbangan membawa 85 jemaah dari Kuala Lumpur ke Jeddah yang dijadualkan hari ini juga ditunda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, penerbangan Saudia dilaporkan masih beroperasi setakat ini.
Gangguan atau penutupan ruang udara secara besar-besaran itu adalah susulan serangan udara yang tercetus antara Israel, Amerika Syarikat (AS) dengan Iran turut mensasarkan kepentingan AS di beberapa negara di rantau itu.
Sehubungan itu, Andalusia Travel memberi jaminan semua jemaah berada dalam keadaan selamat dan dipantau rapi sementara menunggu jadual penerbangan baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








