
90 mangsa ditipu pakej umrah, MHO gesa siasatan menyeluruh
KUALA LUMPUR – Seramai 90 individu mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat agensi pelancongan tempatan membabitkan pakej umrah yang disyaki tidak wujud, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi setengah juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mengesyaki telah diperdaya untuk melanggan pakej umrah yang ditawarkan syarikat terbabit melalui pelbagai platform.
Menurut beliau, mangsa telah dihubungi oleh ejen syarikat dan diminta hadir ke pejabat urusan untuk membuat pembayaran selepas bersetuju dengan tawaran yang diberikan.
“Selepas pembayaran dibuat, mangsa diberikan jadual penerbangan dan maklumat berkaitan, namun apabila tiba masa untuk berlepas, urusan umrah dibatalkan oleh pihak syarikat dengan pelbagai alasan.
“Syarikat juga memberi janji manis bahawa pembayaran akan dikembalikan atau pakej akan dijadualkan semula, namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang perkembangan dan mangsa mengesyaki telah ditipu berkali-kali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan sebahagian daripadanya telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Terdapat juga laporan yang diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Lain Agensi’ oleh pihak polis, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mangsa.
“Mereka memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan menyeluruh ke atas syarikat berkenaan.
“Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit telah menyebabkan ramai mengalami kerugian besar dan trauma akibat ditipu,” katanya lagi.
Tambah beliau, MHO sebagai sebuah badan yang memperjuangkan hak kemanusiaan akan terus membantu mangsa-mangsa terbabit termasuk menyediakan khidmat guaman dan sokongan susulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








