BERITA SEMASA

25 tahun pemerintahan Sultan Selangor dirakam dalam buku khas hal ehwal Islam

KUALA LUMPUR – Perhatian dan keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pembangunan serta pemeliharaan hal ehwal Islam di negeri itu sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda kini didokumentasikan menerusi sebuah penerbitan khas.

Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan Baginda Berkaitan Hal Ehwal Islam Selangor menghimpunkan titah ucapan terpilih Sultan Selangor dari 2001 hingga 2026, sekali gus menjadi rekod perjalanan pentadbiran dan perkembangan hal ehwal Islam di negeri itu sepanjang tempoh berkenaan.

Buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu merangkumi pelbagai perkara penting, termasuk usaha memelihara akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, memperkasa institusi masjid, memartabatkan pendidikan Islam serta memperkukuh pengurusan zakat dan wakaf.

Buku berkenaan turut berperanan sebagai sumber rujukan kepada generasi masa kini dan akan datang bagi memahami peranan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri, selain menyemai kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dan kesejahteraan ummah.

Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan buku itu pada majlis Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Raja Berdaulat Memayungi Umat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, malam tadi.

Program terbitan MAIS dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Orang ramai boleh mendapatkan buku berkenaan menerusi laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button