BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sultan Selangor seru umat Islam elak perbalahan, perkukuh ukhuwah

SHAH ALAM – Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya terus memelihara perpaduan dan menjauhi perbalahan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk konflik global yang memberi kesan kepada masyarakat sejagat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.

Baginda bertitah, perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan di Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia hendaklah dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran.

Titah baginda rakyat seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, namun kita tidak boleh leka dan lalai.

“Beta mahu umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.

“Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran,” titahnya menerusi Selangor Royal Office semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan seluruh rakyat meraikan 1 Syawal esok, dengan penuh syukur, gembira dan semangat ukhuwah.

Namun pada masa sama, baginda mengingatkan seluruh rakyat sentiasa bersedia mendepani apa jua kemungkinan susulan konflik di peringkat global.

Justeru, baginda menggesa setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

“Beta berharap seluruh rakyat jelata daripada peringkat pemimpin, ahli politik sehinggalah kepada rakyat biasa, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara,” titahnya.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

“Semoga sambutan Aidilfitri ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” titahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button