Hormati prinsip demokrasi, elak sentimen kebencian – PM Anwar
BATU KAWAN – Semua pihak diingatkan supaya menghormati prinsip demokrasi dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen kebencian yang boleh menggugat kestabilan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip perpaduan serta pembangunan inklusif menjadi asas penting dalam hala tuju negara, khususnya bagi menangani isu kemiskinan, perumahan dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Perpaduan ini bukan soal politik semata-mata, tetapi kekuatan sebagai satu bangsa untuk kita terus bantu kerajaan memajukan negara.
“Jika kita tidak menjaga perpaduan, sukar untuk memastikan negara kekal aman dan sejahtera,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.
Anwar turut mengingatkan rakyat tentang tanggungjawab bersama untuk menjaga keharmonian antara semua kaum di Malaysia.
“Saya beri ingatan kepada rakyat Malaysia, kalau nak selamatkan negara ini, kita mesti jaga perpaduan.
“Ini kekuatan kita. Tanya mana-mana pemimpin dunia, apa hebatnya Malaysia? Ya, memang Melayu Islam Bumiputera majoriti, tapi kalau kita tidak santuni semua – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan – negara ini tidak akan selamat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perubahan kerajaan mestilah dilakukan menerusi saluran demokrasi dan bukan melalui demonstrasi jalanan atau desakan supaya Perdana Menteri meletak jawatan.
“Jangan anggap semua ini mudah. Membangunkan negara mengambil masa, tetapi merobohkannya sangat senang. Usaha orang yang khianat dan dengki itu memang ada.
“Siapa kata tak boleh tukar kerajaan? Boleh. Speaker Tan Sri Johari Abdul sendiri sebut, kalau nak tukar kerajaan, bawa usul di Parlimen. Kalau hilang sokongan kepada Perdana Menteri, bawalah usul. Tapi kenapa tak boleh? Sebab tak ada sokongan. Tunggu pilihan raya,” jelasnya.
SMP 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 20 Julai di sini menjadi platform interaksi dan tapak integrasi untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta memperluas pengetahuan terhadap kepelbagaian adat, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia.
Terdapat lebih 40 aktiviti utama diadakan, antaranya Pameran Rumah KAMI (etnik), Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun & Orang Asli, Foodunites, Pameran Susur Masa, Pameran Malaysia Tanah Airku dan sukan tradisional.
Turut diadakan ialah Jualan Usahawan Perpaduan, Pertandingan Boria, Pertandingan Busana Etnik, Pertandingan Tarian Etnik, Pesta Buku serta Persembahan Kebudayaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








