BERITA SEMASAPMX

Perpaduan, undang-undang dan ihsan kunci kestabilan, kemajuan negara – PM

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memikul peranan besar dalam memastikan nilai kemanusiaan, ihsan dan saling menghormati benar-benar dihayati dalam kehidupan bermasyarakat selaras kerangka Malaysia MADANI yang menjadi asas pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun rakyat Malaysia berbeza agama, budaya dan keyakinan, mereka tetap berkongsi nilai kemanusiaan serta kewarganegaraan yang sama.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai kemanusiaan, ihsan dan saling menghormati mesti menjadi teras.

“Kita mungkin berbeza agama dan keyakinan, tetapi kita berkongsi kemanusiaan dan kewarganegaraan yang sama,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan KPN. – Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di sini, hari ini.

Anwar turut mengakui wujud jurang antara prinsip yang sering diungkapkan dengan pelaksanaannya di lapangan, sambil memetik kata-kata penyair dan pemikir Barat, T.S. Eliot, bahawa jurang antara idea dan realiti sering dibayangi pelbagai cabaran.

“Namun jurang ini mesti kita sempitkan melalui pendidikan, keteladanan dan dasar yang konsisten,” tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, KPN perlu memainkan peranan utama dalam menanam keyakinan masyarakat bahawa sebarang kecuaian atau tindakan di luar undang-undang akan membawa akibat, selain memastikan rakyat tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Jika ada kesalahan, ikutlah saluran hukum. Jangan kita panaskan suasana kerana tiada manfaatnya.

“Dakwah tidak berkembang, kefahaman Islam tidak meningkat, yang meningkat hanyalah kebencian dan permusuhan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa dakwah mesti dilaksanakan berlandaskan prinsip dan adab yang betul, sebagaimana diperintahkan Allah SWT iaitu dengan hikmah dan tutur kata yang baik.

“Inilah pendekatan yang perlu diterapkan dan dimulakan secara serius dalam usaha membina masyarakat yang harmoni dan beradab,” katanya.

Anwar juga menegaskan bahawa negara ini tidak mempunyai pilihan lain selain mempertahankan perpaduan, kestabilan politik dan dasar ekonomi yang betul bagi menjamin masa depan yang aman dan makmur.

“Tanpa keamanan dan kestabilan, pembangunan dan kemakmuran tidak akan tercapai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button