Fahmi seru rakyat terus pelihara perpaduan, pertahan kedaulatan negara sempena Bulan Kebangsaan
IPOH – Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 perlu menjadi medan untuk rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan terus memelihara perpaduan, keharmonian dan kedaulatan negara, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, semangat patriotisme tidak hanya diterjemahkan melalui sambutan atau pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya perlu dizahirkan menerusi komitmen seluruh rakyat dalam menjaga keamanan serta hubungan antara kaum.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) berkata, kepelbagaian masyarakat Malaysia adalah warisan yang menjadi asas penting dalam pembentukan negara bangsa.
“Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat untuk menghargai nikmat yang diwariskan ini dengan terus memelihara perpaduan, memperkukuh keharmonian dan mempertahankan kedaulatan negara agar Malaysia terus kekal aman, makmur dan dihormati oleh masyarakat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di sini, hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan kemajuan dan pembangunan negara dapat dirasai secara adil oleh seluruh rakyat.
Katanya, kesejahteraan negara bukan hanya dinilai berdasarkan pencapaian ekonomi, tetapi turut melibatkan peningkatan kualiti hidup, peluang saksama serta pengagihan manfaat pembangunan secara menyeluruh.
“Kesejahteraan yang dibina bukan sekadar diukur melalui pencapaian ekonomi, malah diterjemahkan menerusi peningkatan kualiti hidup, peluang yang lebih saksama serta pengagihan manfaat pembangunan yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai program akan dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta membawa mesej perpaduan dan cintakan negara kepada seluruh lapisan masyarakat.
Fahmi turut memaklumkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan terus dipergiatkan bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan, perpaduan dan kebanggaan negara.
Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dilancarkan di Perak sebelum digerakkan ke seluruh negara sebagai manifestasi semangat kebangsaan yang menyatukan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















