
Landskap industri radio akan dikaji, perkukuh ekosistem penyiaran negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji semula landskap industri radio menerusi penelitian Dasar Penyiaran Negara bagi memperkukuhkan ekosistem penyiaran serta memastikan industri itu terus relevan dalam era digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kajian berkenaan akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara serta agenda Majlis Ekonomi Jingga.
Menurut beliau, perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pihak pengurusan dan pemain industri radio tempatan baru-baru ini.
“Sesi ini membuka ruang untuk mendapatkan pandangan, mengenal pasti cabaran serta meneliti cadangan daripada pihak industri bagi memastikan sektor radio terus berkembang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.
Fahmi berkata, perbincangan turut menyentuh usaha meningkatkan kandungan muzik tempatan, model pelesenan yang lebih sesuai serta langkah menjamin kelangsungan industri radio dalam persekitaran media yang semakin kompetitif.
Beliau menjelaskan, penyesuaian terhadap perubahan teknologi dan perkembangan platform digital juga menjadi antara aspek penting yang diberikan perhatian dalam kajian tersebut.
“Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan radio tempatan kekal relevan, berdaya saing dan terus menjadi medium yang dekat di hati rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








