BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi tinjau kemeriahan Sambutan Hari Malaysia 2025 di Arena Butterworth

BUTTERWORTH – Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth hari ini menjadi tumpuan apabila ribuan rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2025 yang membuka tirai secara rasmi pagi ini.

Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Datuk Fahmi Fadzil turut mengadakan tinjauan di pusat konvensyen berkenaan sempena sambutan hari ini.

“Pengisian menarik seperti Pertandingan Mewarna Keluarga serta Pameran Hari Malaysia 2025 menelusuri zaman yang memperlihatkan demonstrasi penyediaan makanan tradisional seperti ubi kayu, ikan masin dan kuih tradisional.

“Turut memeriahkan acara sambutan, pameran pakaian serta peralatan warisan,” menurut Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini.

Hari Malaysia
Fahmi mengadakan tinjauan di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth sempena Sambutan Hari Malaysia 2025. – Foto Facebook Kementerian Komunikasi

Terdahulu, suasana penuh semangat patriotik dirasai apabila pengunjung mula memenuhi ruang legar yang dihiasi reruai daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta seawal pukul 9.00 pagi.

Antara agensi yang terlibat termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta Astro Radio.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, acara julung kali dianjurkan di Pulau Pinang itu menawarkan pelbagai pengisian menarik antaranya pertandingan mewarna keluarga serta kuiz interaktif bertemakan Hari Malaysia.

Kemuncak sambutan akan berlangsung pada sebelah malam dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sambutan pada malam ini juga dijangka lebih meriah dengan persembahan barisan artis terkenal tanah air mewakili pelbagai kaum, antaranya Ratu Rock negara Ella, Suki Low, Roshini Balachandran serta artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.

Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah tahun ini selaras dengan tradisi penggiliran lokasi sambutan Hari Malaysia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button