MCMC berhak panggil individu yang disiasat
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi kuasa menyiasat mana-mana kesalahan di bawah Akta 558 berdasarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang diterima dari orang awam dan permohonan daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bertindak atas FIR tersebut, proses siasatan akan dijalankan oleh agensi penguatkuasaan di bawah peruntukan yang berkaitan kesalahan-kesalahan tertentu seperti kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta 588.
“(Bagaimanapun) Dalam perkara-perkara tertentu, MCMC bertindak untuk memberikan bantuan teknikal kepada agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seterusnya, pemeriksaan akan dijalankan oleh pegawai diberi kuasa MCMC sama ada dengan mendapatkan waran geledah daripada Mahkamah di bawah Seksyen 247 Akta 588 atau dengan kerjasama pihak PDRM di bawah Seksyen 248 Akta 588,” katanya, hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang bertanyakan mengenai prosedur siasatan MCMC terhadap aduan berkait kenyataan di media sosial ketika Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi menjelaskan, bagi kes yang disiasat, suatu notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 boleh dikeluarkan terhadap individu yang sedang disiasat, dengan rakaman percakapan individu berkenaan juga akan diambil di bawah Seksyen 256 Akta 588 bagi membantu siasatan.
“Sekiranya, terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan individu berkenaan dengan kesalahan yang disiasat, peranti komunikasi milik individu berkenaan boleh disita sama ada oleh MCMC atau PDRM berkenaan.
“Seterusnya pengujian forensik akan dijalankan bagi mendapatkan bukti-bukti teknikal berkenaan dengan kesalahan yang disiasat,” katanya lagi.
Jelas Fahmi seterusnya, kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan dan keputusan memulakan pendakwaan di Mahkamah atau mana-mana keputusan lain yang termaktub di dalam undang-undang.
“Selain itu, tawaran kompaun juga boleh ditentukan pada peringkat ini dengan izin yang diperoleh daripada TPR di Jabatan Peguam Negara,” kata Fahmi.
Fahmi turut menegaskan, siasatan yang dijalankan oleh MCMC adalah berpandukan kepada tatacara dan prosedur yang ditetapkan serta mematuhi peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 588 dan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh dengan merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan dengan seadilnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








