BERITA SEMASA

Kementerian Komunikasi akan lancar kempen keselamatan dalam talian

KUALA LUMPUR – Satu Kempen Keselamatan Dalam Talian untuk Kanak-kanak dan Keluarga akan dilancarkan dalam masa terdekat, bagi menangani isu keselamatan golongan berkenaan di alam siber.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi membanteras jenayah pengantunan kanak-kanak menerusi media sosial dan menghentikan isu kanak-kanak di bawah 13 tahun yang mendaftar bagi penggunaan media sosial, walaupun platform tersebut tidak membenarkannya.

“Jadi di sini kita lihat ibu bapa, memang kita faham platform ini banyak mendatangkan manfaat tapi ada juga banyak kemudaratan.

“Harapan saya dengan kempen ini, kita akan dapat kumpulkan semua agensi termasuk PDRM, Bank Negara (Malaysia) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi memberi penegasan, apakah langkah yang perlu kita ambil untuk sentiasa menjamin keselamatan diri, anak dan keluarga kita,” katanya kepada Bernama.

Fahmi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini hari ini.

Tambahnya, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman, turut memaklumkan platform yang paling banyak disalah guna untuk tujuan pengantunan kanak-kanak ialah aplikasi WhatsApp.

Mengulas mengenai penganjuran Karnival Kita Madani, Fahmi berharap karnival yang bertujuan menyampaikan program kerajaan kepada rakyat, dapat diteruskan ke negeri-negeri lain dalam usaha mendekatkan jurang komunikasi.

Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disertai agensi di bawah Kementerian Komunikasi antaranya Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Antara pengisian program karnival itu ialah Jualan Rahmah, Sukan Rakyat, Program Jualan Agro Madani dan Larian Madani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button