BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Internet laju, murah tidak bermakna jika tidak selamat – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu meninggalkan legasi internet yang pantas dan murah tetapi gagal menjamin keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, bermula tahun ini, keutamaan kerajaan adalah memastikan internet yang lebih selamat susulan peningkatan jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

“Saya tidak mahu meninggalkan satu legasi di mana internetnya laju, internetnya murah, tetapi internetnya tidak selamat. Saya tidak mahu membina seolah-olah satu lebuh raya untuk penjenayah bergerak bebas dalam alam siber,” katanya ketika berucap sempena Hari Keselamatan Internet 2026 di ibu negara hari ini.

Menurutnya, statistik yang dibentangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penjenayah telah beralih secara besar-besaran daripada jenayah fizikal kepada jenayah siber dengan modus operandi yang semakin terancang dan berterusan.

“Kita bukan sahaja membaca berita tentang mangsa yang kehilangan puluhan ribu ringgit, malah ada yang kehilangan ratusan ribu dan jutaan ringgit akibat skim pelaburan palsu yang tidak wujud,” katanya.

Fahmi turut mengimbas kes seorang pempengaruh TikTok yang membunuh diri selepas dibuli dalam siaran langsung aplikasi itu, selain pendedahan berkaitan kegiatan kumpulan pedofil yang menyasarkan kanak-kanak melalui platform digital.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan mengambil keputusan berat termasuk meminda undang-undang berkaitan bagi menutup ruang jenayah siber tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara.

Antaranya ialah pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap penyalahgunaan rangkaian komunikasi untuk menyebarkan kandungan jelik melampau, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara, selain kompaun sehingga RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Hak bersuara bukan hak untuk memfitnah, bukan hak untuk mengganggu orang lain atau memecah-belahkan masyarakat. Sebab itu pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dibuat secara seimbang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pindaan tersebut dibuat secara seimbang bagi memastikan hak bersuara terus dipelihara selagi tidak melibatkan fitnah, gangguan atau ancaman keselamatan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button