Platform media sosial tentukan nasib kandungan, MCMC hanya salur aduan
KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menurunkan atau mengekalkan sesuatu kandungan di media sosial terletak sepenuhnya di tangan penyedia platform yang mempunyai garis panduan komuniti tersendiri, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya berperanan menerima dan memanjangkan aduan yang diterima daripada orang ramai kepada platform media sosial tanpa sebarang unsur pilih kasih atau kecenderungan terhadap mana-mana pihak.
Menurutnya, setiap platform mempunyai dasar serta mekanisme penilaian sendiri dalam menentukan sama ada sesuatu kandungan melanggar peraturan komuniti dan perlu diturunkan.
“Bagi MCMC, mereka akan menerima aduan dan memanjangkannya kepada platform tanpa bias, tanpa rasa takut atau memihak kepada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa kandungan yang mengkritik kerajaan lebih mudah dikenakan tindakan atau diturunkan daripada platform media sosial.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, persepsi bahawa MCMC menentukan kandungan yang perlu dipadamkan adalah tidak tepat kerana keputusan akhir berada di bawah bidang kuasa platform berkenaan.
Katanya, banyak kandungan yang dirujuk kepada platform media sosial tidak diturunkan selepas dinilai berdasarkan garis panduan komuniti masing-masing.
“Malah, banyak kandungan yang dibawa kepada perhatian penyedia platform tidak diturunkan.
“Pada akhirnya, keputusan sama ada sesuatu kandungan itu diturunkan atau tidak adalah hak platform berkenaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengguna media sosial boleh membuat aduan secara terus kepada platform tanpa perlu melalui MCMC kerana setiap aplikasi menyediakan fungsi lapor (report) terhadap kandungan yang dianggap melanggar peraturan.
Menurutnya, kewujudan mekanisme tersebut membolehkan semua pengguna memainkan peranan dalam memastikan persekitaran media sosial lebih selamat dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh platform masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














