BERITA SEMASADALAM NEGERIKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Tiada campur tangan luar dalam keputusan Jemaah Menteri – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya wujud campur tangan atau pengaruh luar dalam keputusan mesyuarat Jemaah Menteri disangkal Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi menegaskan, setiap keputusan yang diputuskan adalah hasil perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan tidak melibatkan mana-mana pihak luar.

“Langsung tidak ada. Saya hadir hampir setiap mesyuarat Jemaah Menteri. Keputusan yang dibuat adalah keputusan yang diputuskan dalam Jemaah Menteri. Tidak ada selain mana-mana pihak lain. Itu bagi saya tidak benar,” katanya dalam sidang media selepas program agih Jalur Gemilang di ibu negara hari ini.

Baca juga : Hantaran fitnah: Fahmi Fadzil buat laporan polis

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu podcast baru-baru ini, yang mengaitkan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador, kononnya mempunyai pengaruh besar dalam keputusan kerajaan.

Rafizi menyifatkan persepsi berkenaan sebagai sesuatu yang amat berbahaya dan perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menegaskan, perbincangan dalam Jemaah Menteri itu adalah berstatus rahsia yang terpakai di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sekiranya terdapat tuduhan oleh mana-mana individu, maka pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

“Saya tak tonton, saya tak tahu pun sehingga puan tanya saya tadi. Tapi keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri sebenarnya, perbincangan dalam Jemaah Menteri itu adalah berstatus rahsia, rahsia besar yang mana sekiranya diketahui, Akta Rahsia Rasmi (OSA) terpakai.

“Jadi sekiranya ada tuduhan oleh mana-mana pihak, maka boleh dibuat laporan polis dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Tapi saya belum mendengar hal ini. Saya tak tonton,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button