Fahmi nasihat Syam Ghaz lebih cermat, elak kenyataan dimanipulasi
KOTA BHARU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan ia disalah tafsir atau dimanipulasi pihak tertentu.
Menurut beliau, semangat dan pendekatan dinamik yang ditunjukkan Mohd Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz adalah sesuatu yang positif, namun mesej yang disampaikan perlu jelas agar dapat difahami rakyat.
“Saya telah berpesan kepada beliau bahawa tenaga dan dinamisme yang ditunjukkan itu sangat baik, tetapi pada masa sama perlu berhati-hati supaya rakyat memahami apa yang cuba kita sampaikan.
“Jangan sampai wujud ruang yang boleh dimanipulasi oleh pihak yang memusuhi atau sengaja mencari isu,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas prestasi Mohd Hisyamuddin yang baru memasuki minggu pertama sebagai Ketua Pengarah J-KOM, Fahmi berkata kementerian akan terus menilai mutu perkhidmatan beliau dari semasa ke semasa.
Katanya, pendekatan pantas yang ditunjukkan Syam Ghaz dalam mengenal pasti dan menangani isu semasa dilihat membawa kelainan berbanding pentadbiran sebelum ini.
“Ini baru minggu pertama dan kita akan terus meneliti mutu perkhidmatan beliau. Saya melihat kepantasan beliau dalam menilai dan menangani isu sebagai sesuatu yang segar.
“Pendekatannya berbeza daripada sebelum ini dan saya melihat terdapat ruang untuk kita meneroka kaedah pengurusan isu yang lebih tuntas,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut mengingatkan Mohd Hisyamuddin supaya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi awam serta mengelakkan kenyataan yang menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Mohd Hisyamuddin yang dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 8 Jun lalu, sebelum ini menerima kritikan susulan satu hantaran di media sosial yang dimuat naik pada Sabtu lalu dan disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai berbaur perkauman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








