KEMENTERIAN KOMUNIKASI

PENTARAMA pupuk patriotisme generasi muda

JEMPOL – Program Persembahan Pentas (PENTARAMA) x Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap tanggungjawab sebagai warganegara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program yang menghimpunkan kira-kira 60 pelajar Tingkatan Enam dari Bahau, Kuala Pilah dan Jempol itu bertujuan memupuk rasa cinta kepada negara selain memperkukuh pemahaman mengenai aspek kenegaraan.

Menurutnya, setiap rakyat Malaysia perlu memahami sejarah negara dan peranan masing-masing dalam memastikan negara terus berkembang serta maju.

“Program ini memberi peluang kepada kita menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara dan memberi penegasan tentang aspek-aspek kenegaraan.

“Sebagai anak watan dan warga negara, kita mempunyai tanggungjawab serta perlu memahami sejarah selain peranan kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang mampu membantu negara maju ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program PENTARAMA x Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat di Pejabat Penerangan Daerah Jempol hari ini.

Fahmi berkata, beliau turut meluangkan masa berinteraksi dengan para pelajar yang dilihat mempunyai motivasi tinggi serta peka terhadap pelbagai cabaran semasa.

“Antara perkara yang dibangkitkan oleh pelajar termasuk isu berita palsu, kesihatan mental, penggunaan media sosial serta masa depan golongan muda dalam menghadapi perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Saya lihat rata-rata mereka mempunyai motivasi yang tinggi dan memahami cabaran semasa. Ramai juga yang bertanya mengenai masa depan dengan adanya lambakan teknologi termasuk AI.

“Saya percaya kira-kira 60 pelajar Tingkatan Enam yang hadir hari ini mempunyai masa depan yang cerah dan saya amat berterima kasih kepada pasukan JAPEN yang mengusahakan program ini,” katanya lagi.

kp japen erwin
Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad

Sementara itu, Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad berkata, Program PENTARAMA yang menampilkan persembahan nyanyian, tarian dan drama merupakan antara inisiatif jabatan itu dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Menurutnya, program tersebut juga bertujuan mempromosikan nilai perpaduan dan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Bagi program di Jempol, penyertaan melibatkan tiga sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku dengan keahlian terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

“Di seluruh negara, kita mempunyai kira-kira 850 Kelab Malaysiaku yang menjadi medium untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button