Fahmi nafi PH akan kurangkan kuasa Melayu-Islam melalui persempadanan semula
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan pihak lawan bahawa kerajaan akan melakukan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi ‘memecahkan’ kawasan tertentu serta mengurangkan kuasa Melayu-Islam sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara utama yang diberi perhatian kerajaan adalah memastikan pembangunan lebih seimbang antara kawasan DUN di setiap negeri.
Menurutnya, dakwaan berkenaan hanya bertujuan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tanpa berasaskan fakta.
“Kita tidak akan berkompromi dalam apa-apa perkara yang seolah-olah memberi bayangan mengurangkan kuasa Melayu-Islam. Inilah bagi saya kempen yang tidak sihat dan cuba menakut-nakutkan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Fahmi berkata, pihak lawan dilihat cuba memainkan sentimen ketakutan kerana tidak mempunyai hujah berasaskan prestasi bagi menandingi pencapaian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Rekod pentadbiran Aminuddin termasuk pembangunan masjid baharu, peningkatan kutipan zakat serta kenaikan elaun imam adalah antara pencapaian yang wajar dinilai rakyat.
“Sikap mereka hanya untuk menakut-nakutkan sebab tidak ada asas fakta untuk bertarung dengan pencapaian dan prestasi Tok Min yang diiktiraf oleh para pengundi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















