POLITIK

AMK lancar Jelajah Gen Z dekati anak muda, perkukuh perjuangan reformasi

PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) bakal melancarkan Jelajah AMK Gen Z ke seluruh negara susulan penyertaan 3,075 ahli baharu yang majoritinya terdiri daripada golongan muda.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu membuktikan keterbukaan parti serta penerimaan yang semakin baik dalam kalangan generasi muda, sekali gus memberi keyakinan kepada AMK untuk terus memperluaskan pendekatan terhadap golongan berkenaan.

Menurut beliau, jelajah tersebut akan menjadi platform menghimpunkan kekuatan baharu selain memperkenalkan perjuangan reformasi kepada anak muda yang berminat menyertai parti.

“Program ini menjadi titik tolak untuk kita menjelajah seluruh negara bagi meningkatkan sokongan, memperkenalkan parti kepada Gen Z serta membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda menyertai perjuangan reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Generasi Muda, Suara Baharu yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Fahmi berkata, inisiatif itu bukan digerakkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya merupakan program berterusan parti bagi memperkukuh keanggotaan dalam kalangan generasi muda.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya dan RM1.5 juta untuk Parlimen Subang bagi menyelesaikan isu di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) serta memenuhi keperluan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, agihan peruntukan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menerusi ICU Selangor dan ICU Pusat berdasarkan mekanisme yang sedang diperhalusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button