Laporan siasatan Azam Baki akan didedah selepas proses selesai – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan laporan siasatan jawatankuasa khas berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diumumkan selepas semua proses siasatan selesai sepenuhnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, komitmen tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri sebaik sahaja kedua-dua aspek siasatan dimuktamadkan.
Menurut beliau, perkara itu juga selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan laporan berkenaan akan didedahkan kepada umum.
“Komitmen daripada Jemaah Menteri setelah kedua-dua aspek siasatan selesai memang akan diumumkan. Itu adalah komitmen Perdana Menteri,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.
Semalam, kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa yang mengatakan Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap agensi media itu susulan dakwaan berkenaan.
“Selaras dengan pembentangan Jawatan Kuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Ketua Setiausaha Negara sebelum ini telah memaklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Jadi kita serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan semua proses tersebut disusuli dan dituruti,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh dakwaan media antarabangsa mengenai kemungkinan wujud kaitan antara Azam Baki dan manipulasi korporat.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan penjelasan pihak berkuasa di bawah Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), proses siasatan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
“Justeru, kita perlu pastikan siasatan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil termasuk pemakluman atau pendedahan berkaitan isu pegangan saham tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan untuk mendedahkan laporan berkenaan akhirnya bergantung kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sebaik sahaja semua proses siasatan dianggap mencukupi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






