BERITA SEMASA

Aplikasi penghantaran makanan bantu koperasi jana pendapatan, menang GIK 2026

BANGI – Inovasi aplikasi penghantaran makanan berkonsepkan koperasi membawa tuah kepada sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila muncul juara Pertandingan Generasi Inovasi Koperasi (GIK) 2026 dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Aplikasi itu dibangunkan bagi membantu koperasi memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perniagaan, selain membuka peluang menambah keanggotaan menerusi platform yang menghubungkan peniaga makanan dengan pelanggan.

Wakil kumpulan, Muhammad Adam berkata, idea membangunkan aplikasi itu tercetus daripada pengalaman seorang ahli kumpulan yang pernah menjalankan perniagaan makanan tetapi berdepan kekangan masa untuk menghantar pesanan kepada pelanggan.

Menurutnya, perbincangan bersama ahli kumpulan membawa kepada idea menghasilkan platform seumpama GrabFood dan Foodpanda, namun memberi tumpuan khusus kepada kepentingan koperasi.

“Antara masalah yang dikenal pasti ialah koperasi berdepan kekangan dana dan perancangan untuk menggunakan teknologi dalam perniagaan. Disebabkan itu, peluang yang ada tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada Malaysia Tribune di sini, hari ini.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut memberi keutamaan kepada penunggang penghantaran dan peniaga yang berdaftar sebagai anggota koperasi.

“Pendekatan itu berpotensi menarik lebih ramai individu menyertai koperasi, sekali gus memperluas penglibatan masyarakat dalam gerakan berkenaan,” katanya.

Mengulas perkembangan projek, Muhammad Adam berkata, aplikasi itu sudah melalui proses pengujian dan kini dalam fasa penambahbaikan sebelum diperluaskan kepada pengguna.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama kumpulannya adalah untuk menerangkan konsep serta kaedah pelaksanaan inovasi itu dengan jelas ketika pembentangan pertandingan.

Menurutnya, kumpulan berkenaan berharap projek itu dapat dilaksanakan dalam operasi sebenar dengan sokongan dan bimbingan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Kerjasama dengan koperasi penting bagi memastikan aplikasi ini bukan sekadar menjadi produk teknologi, sebaliknya mampu memberi manfaat kepada anggota serta membantu meningkatkan pendapatan koperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Adam turut merakamkan penghargaan kepada IKMa selaku penganjur GIK 2026 kerana menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan idea dan inovasi yang berpotensi membantu pembangunan gerakan koperasi di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button