USIM, PERKESO lancar garis panduan yang pertama bagi kumpulan neurodivergen
KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan garis panduan sokongan pekerjaan yang pertama bagi kumpulan neurodivergen.
Ketua Penyelidik USIM, Prof Madya Dr Nurul Asiah Fasehah Mohamad berkata, pelancaran garis panduan baharu itu bertujuan menyediakan rangka kerja yang komprehensif bagi golongan tersebut.
Beliau berkata, garis panduan itu merupaka hasil gabungan integrasi ilmu, penyelidikan dan inovasi sosial antara kedua-dua institusi berkenaan.
“Garis panduan ini dijangka menjadi dokumen rujukan penting kepada majikan, organisasi, agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat dalam merangka dasar serta amalan sokongan pekerjaan yang lebih menyeluruh.
“Ia turut membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap bakat neurodivergen sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara yang bernilai dan berpotensi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis tersebut yang berlangsung pada 6 Mei lalu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof Ts Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa.
Mengulas lanjut Nurul Asiah berkata, garis panduan itu membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap bakat neurodivergen sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara yang bernilai dan berpotensi tinggi.
Dalam pada itu katanya, pembangunan garis panduan itu digerakkan melalui kerjasama strategik PERKESO dan USIM menerusi kepakaran penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) bagi memperkukuh sokongan pekerjaan yang lebih inklusif dan mesra neurodivergen di Malaysia.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan individu neurodivergen bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan yang lebih adil, malah turut disokong melalui persekitaran kerja yang memahami kepelbagaian keupayaan, gaya komunikasi dan keperluan sokongan mereka.
“Penghasilan garis panduan ini selari dengan falsafah Integrasi ilmu naqli dan aqli yang menekankan bahawa ilmu, penyelidikan dan inovasi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat.
“Melalui penyelidikan berasaskan keperluan komuniti, USIM berusaha memastikan golongan berkeperluan khas termasuk komuniti neurodivergen diberi ruang yang lebih bermakna untuk menyumbang dalam pembangunan negara,” katanya.
Selain pelancaran garis panduan, UMMI USIM turut mengetengahkan pelbagai produk penyelidikan dan inovasi untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) melalui reruai pameran khas.
Antara produk yang dipamerkan termasuk eBraille, al-Quran Braille, buku panduan ibadah haji dan umrah versi Braille serta pengenalan kepada Kod Tangan Quran bagi komuniti pekak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








