BERITA SEMASA

Permohonan faedah PERKESO wajib secara dalam talian mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR – Semua permohonan faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian bermula 1 Januari depan, melibatkan empat akta utama yang dikuatkuasakan organisasi berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu merupakan sebahagian pembaharuan dasar bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memudahkan akses kepada pencarum dan penerima faedah di seluruh negara.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut meliputi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

“Portal Lindung Faedah akan digunakan sepenuhnya bagi permohonan Faedah Hilang Upaya Kekal, Hilang Upaya Sementara, Pencen Ilat, Bencana Pekerjaan, Faedah Orang Tanggungan dan Pencen Penakat.

“Dengan sistem ini, lebih 200,000 permohonan faedah setiap tahun dapat dipermudah tanpa memerlukan pencarum dan tanggungan hadir ke pejabat PERKESO,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PERKESO di Menara PERKESO, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Ramanan turut berkata, pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Pekerjaan atau Lindung 24/7 disasarkan bermula suku pertama atau kedua tahun hadapan.

Selain itu, beliau memaklumkan PERKESO turut diarahkan menjalankan kajian kebolehlaksanaan Skim Pengembara bagi melindungi hampir 400,000 pekerja rentas sempadan yang berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor.

Sementara itu, kira-kira 300,000 majikan layak menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi bayaran lewat caruman (FCLB) bermula hari ini hingga akhir Februari tahun depan, melibatkan penalti berjumlah RM157 juta.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi membantu majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan peningkatan kos operasi.

“Pengurangan penalti ini diharap dapat membantu majikan memastikan kelangsungan operasi perniagaan,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button