BERITA SEMASA

Intervensi rentas agensi tidak jejas mandat asal MITRA – Ramanan

KUALA LUMPUR – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kekal memikul mandat asal sebagai agensi utama pembangunan sosioekonomi masyarakat India, meskipun peruntukannya turut disalurkan kepada beberapa agensi lain.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pengagihan peruntukan tersebut adalah
sebagai sebahagian mekanisme kerjasama rentas kementerian yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau menjelaskan, pendekatan itu bukan penyimpangan mandat, sebaliknya langkah intervensi strategik bagi menangani isu mendesak melibatkan masyarakat India.

“Inisiatif yang diluluskan Perdana Menteri bersifat intervensi, bertujuan menyelesaikan isu mendesak serta memerlukan tindakan rentas kementerian.

“Ia termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, kerohanian dan peningkatan kemudahan asas komuniti India,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan program berkenaan sebenarnya memastikan peruntukan MITRA sampai terus kepada masyarakat India, bukannya kepada mana-mana organisasi atau individu tertentu.

“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa peruntukan MITRA 100 peratus digunakan untuk manfaat masyarakat India sahaja. Tiada satu sen pun digunakan bagi program kementerian lain yang tidak melibatkan masyarakat India.

“Setiap ringgit kekal sebagai peruntukan MITRA dan setiap penerima bantuan adalah daripada kalangan masyarakat India, selaras dengan mandat yang telah ditetapkan kerajaan,” jelasnya.

Ramanan turut memaklumkan pembangunan masyarakat India bukan bergantung kepada RM100 juta peruntukan kerajaan melalui MITRA semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelbagai dana lain yang disediakan kementerian dan agensi kerajaan.

Antara kementerian yang turut menyalurkan manfaat termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta beberapa badan lain yang melaksanakan program pembangunan pelbagai kaum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button