BERITA SEMASA

16 program berimpak tinggi diluluskan untuk manfaat masyarakat India – PMO

PUTRAJAYA – Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai lalu melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, program itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat, iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh.

“Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan antaranya melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Justeru, katanya penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.

“Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.

“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button