BERITA SEMASA

Pengasas Boat Noodle, Tony Lim meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pengasas rangkaian restoran terkenal Boat Noodle, Tony Lim dilaporkan meninggal dunia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi Boat Noodle yang menyifatkan pemergian Tony sebagai kehilangan besar kerana beliau bukan sekadar pengasas, malah seorang pemimpin, mentor dan individu yang sentiasa percaya kepada potensi orang lain.

Menurut kenyataan itu, Tony membina Boat Noodle dengan penuh semangat, keazaman serta keyakinan bahawa setiap cabaran boleh diatasi melalui usaha untuk menjadi lebih baik setiap hari.

“Prinsip “Together We Grow” bukan sekadar slogan buat Tony, sebaliknya menjadi pegangan yang diterapkan sepanjang perjalanan membangunkan jenama berkenaan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Boat Noodle turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan dan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan syarikat itu.

“Kami akan terus berkembang, melakukan penambahbaikan dan berusaha membuatkan anda bangga.

“Kami akan merindui senyuman, semangat juang serta keyakinan anda yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap kami,” menurut kenyataan itu.

Boat Noodle turut berjanji akan meneruskan legasi yang ditinggalkan Tony, selain memastikan semangat dan nilai perjuangannya terus hidup dalam kalangan seluruh warga syarikat berkenaan.

“Berehatlah dengan tenang, Tony. Semangat dan legasi anda akan sentiasa hidup dalam diri kami semua,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button