Frank Caprio, hakim berhati mulia meninggal dunia pada usia 88 tahun
PROVIDENCE – Frank Caprio, bekas Hakim Mahkamah Perbandaran di Rhode Island yang dikenali di seluruh dunia kerana sikapnya yang penuh belas kasihan, meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas sekian lama berjuang melawan kanser pankreas.
Berita pemergiannya diumumkan melalui akaun media sosial rasmi beliau semalam dan turut disahkan oleh ahli keluarga kepada stesen televisyen WJAR.
Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir, Caprio sempat memuat naik satu hantaran di media sosial memaklumkan keadaannya yang semakin merosot serta memohon orang ramai mendoakannya.

“Saya kini kembali dirawat di hospital dan sekali lagi saya memohon agar anda semua mengingati saya dalam doa,” katanya.
Caprio meraih populariti global menerusi video perbicaraannya yang tular di media sosial, di mana beliau kerap mendengar rayuan dengan hati terbuka, menunjukkan belas kasihan, malah sesekali membatalkan saman terhadap pesalah.
Rakaman di mahkamah yang disiarkan melalui rancangan Caught in Providence itu sering menampilkan unsur jenaka dan nilai kemanusiaan, sehingga meraih jutaan tontonan.
Popularitinya turut dimanfaatkan untuk menyuarakan isu ketidaksaksamaan akses terhadap sistem kehakiman.
Antara klip yang paling dikenang ialah ketika beliau memanggil anak-anak untuk membantu menjatuhkan hukuman terhadap ibu bapa mereka, atau memaafkan saman seorang ibu yang kehilangan anak akibat dibunuh.
Dalam satu lagi klip, beliau membatalkan saman lampu merah seorang pekerja bar bergaji kecil, sambil mengingatkan penonton agar tidak mengabaikan tanggungjawab membayar bil.
Sepanjang kerjayanya, Caprio telah menyentuh hati jutaan orang dan meninggalkan legasi sebagai hakim yang menjunjung keadilan dengan belas kasihan.
Gabenor Rhode Island, Dan McKee menyifatkan Caprio sebagai “khazanah negeri” dan memerintahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terakhir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








