GAYA HIDUPSUKAN

ResQ Team sedia bantu pelari berdepan kecemasan, perkukuh kesedaran henti jantung

KUALA LUMPUR – Ketika ribuan peserta berusaha menamatkan larian dalam acara sukan, sekumpulan pelari daripada ResQ Team membawa misi berbeza iaitu memastikan keselamatan peserta dan memberikan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan.

Pasukan itu menghimpunkan pelari pertolongan cemas bertauliah Bantuan Hayat Asas (BLS), pelari yang dilengkapi defibrilator luaran automatik (AED) serta petugas perubatan berbasikal bagi menyediakan sokongan tambahan sepanjang acara larian.

Ketua ResQ Team, Celine Ng berkata, komitmen pasukan itu berteraskan kesediaan untuk membantu peserta lain apabila diperlukan, sekali gus menjadikan keselamatan sebagai tanggungjawab bersama dalam komuniti larian.

Beliau berkata, ResQ Team menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai henti jantung mengejut serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam setiap penganjuran acara sukan.

Katanya, antara matlamat pasukan itu adalah mempromosikan kesedaran mengenai bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan AED, selain menggalakkan lebih ramai masyarakat mempelajari kemahiran pertolongan cemas.

“Dalam menjalankan tugas, ahli pasukan bertanggungjawab memantau keadaan pelari dan memberikan bantuan awal sekiranya berlaku kecederaan seperti luka, lecet, kekejangan otot, kesukaran bernafas atau peserta rebah.

“Bantuan diberikan mengikut skop latihan masing-masing sebelum pusat kawalan perubatan acara dimaklumkan sekiranya pelari memerlukan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

resq team
Anggota ResQ Team bersedia memberikan bantuan awal kepada peserta yang berdepan kecemasan sepanjang acara larian.

Menurut ResQ Team, sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan rawatan segera, pihaknya akan memohon bantuan ambulans menerusi sistem komunikasi kecemasan acara dengan memberikan maklumat lokasi serta keadaan pelari.

Ahli pasukan juga akan terus memberikan sokongan sewajarnya sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan profesional untuk mengambil alih rawatan.

Keupayaan mengesan peserta yang memerlukan bantuan ketika berada dalam kelompok pelari turut menjadi antara kelebihan pendekatan berkenaan, selain memastikan tindakan pantas dan komunikasi terselaras dapat dilaksanakan.

Bagi memperkukuh operasi, ResQ Team turut membangunkan sistem perancangan laluan dan penempatan anggota berasaskan teknologi bagi menyelaras kedudukan ahli di sepanjang laluan, dengan mengambil kira keperluan operasi setiap acara.

Antara acara yang pernah mendapat khidmat pasukan itu termasuk Royal Klang Marathon 2025, Koocester Founders Run, Brooks Marathon, Coway Run dan Powerman, dengan skop tugas berbeza mengikut keperluan penganjur.

Bagi penglibatan akan datang, ResQ Team dijadual menyertai Royal Klang Marathon 2026 dan Nutriplus Makan Run Fest.

Pendekatan operasi pasukan itu turut menitikberatkan pensijilan BLS yang sah, sesi ulang kaji, taklimat keselamatan wajib sebelum acara, penempatan anggota secara terselaras serta komunikasi yang jelas.

Dalam pada itu, ResQ Team menegaskan peranannya adalah sebagai pelengkap kepada pasukan perubatan profesional dan perkhidmatan ambulans yang disediakan penganjur, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan serta kesejahteraan rakan pelari berbanding pencapaian peribadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button