BERITA SEMASAPMX

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku: Platform kerajaan tonjol pencapaian, kemajuan

PUTRAJAYA – Tradisi pelaporan tahunan kerajaan bagi menonjolkan pencapaian, kemajuan dasar dan hasil reformasi kerajaan secara terus kepada rakyat diteruskan dengan penganjuran program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang bermula selama tiga hari, hari ini.

Program yang berlangsung di Dataran Putrajaya itu turut menjadi medan titik temu antara kerajaan dan rakyat terutama dalam memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan dengan cara yang mudah diakses dan holistik.

Sabah
Tunku Nashrul menyampaikan taklimat harian PMO.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sepanjang tiga hari penganjuran, rakyat berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti secara langsung yang melibatkan kementerian dan agensi kerajaan selain program bersifat kekeluargaan.

“Rakyat boleh menikmati perkhidmatan terus daripada kementerian dan agensi kerajaan, menyertai aktiviti kekeluargaan, karnival kerjaya, pemeriksaan kesihatan dan Jualan Rahmah.

“Selain itu, terdapat juga pameran keselamatan, program STEM-AI, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), aktiviti sukan, pengangkutan, pelancongan serta pelbagai tarikan lain,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia hari ini.

Tunku Nashrul menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir pada hari terakhir itu bagi merasmikan penutupan program serta berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

Program itu menampilkan inisiatif merentasi lapan segmen utama, termasuk Produk Rakyat MADANI, Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa dan persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Di samping itu, program berkenaan membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negara secara dekat.

Kehadiran Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan pimpinan tertinggi kerajaan memberi peluang untuk mereka mendengar suara rakyat, menilai keperluan semasa dan memperkukuh hubungan kepercayaan sebagai asas Malaysia MADANI.

“Pejabat Perdana Menteri amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat yang berkelapangan untuk memanfaatkan peluang ini dan menyertai pelbagai inisiatif sepanjang tiga hari program berlangsung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button