Lebih 1,000 sertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman
PUTRAJAYA – Lebih 1,000 peserta terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang bermula pada pukul 2.30 petang di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer itu berlangsung secara aman dan simbolik menuju ke Pejabat Perdana Menteri sebagai manifestasi solidariti mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Menurut Majlis Peguam, perarakan berkenaan turut disertai tokoh-tokoh ternama termasuk Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersama suaminya; bekas Menteri, Tan Sri Rais Yatim; bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; peguam kanan, Haniff Khatri Abdullah; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan serta aktivis sosial, Siti Kassim.
Turut kelihatan, pimpinan pembangkang termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan beberapa lagi pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataan sebelum ini berkata, perarakan itu bukan hanya mewakili suara peguam tetapi seluruh rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.
“Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya. Ini bukan tentang individu tetapi mempertahankan institusi dan prinsip asas Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakan itu sah di sisi undang-undang dan mencerminkan komitmen teguh profesion undang-undang terhadap doktrin pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.
Perarakan itu berakhir dengan penyerahan memorandum yang mengandungi enam tuntutan utama kepada wakil kerajaan, antaranya pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman, penyelesaian segera kekosongan jawatan dalam badan kehakiman, jaminan ketelusan dalam pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman dan pengukuhan integriti institusi kehakiman serta menangani kelewatan proses keadilan di mahkamah.
Setakat pukul 4.30 petang, rata-rata peserta yang mengenakan kot hitam meneruskan perarakan dalam cuaca panas terik sambil melaungkan slogan “Bebaskan Kehakiman”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








