BERITA SEMASA

PEKIDA Putrajaya tekad perkukuh ekonomi ahli melalui PPPWP

PUTRAJAYA – PEKIDA Daerah Putrajaya komited memperkukuhkan kedudukan ekonomi ahli menerusi penubuhan Persatuan Peniaga PEKIDA Wilayah Persekutuan (PPPWP) yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan dalam kalangan warga pertubuhan itu.

pekida
Saiful Azril Shariff

Pengerusinya, Saiful Azril Shariff berkata, PPPWP yang berjaya didaftarkan secara rasmi melalui sistem e-ROSES bukan sekadar sebuah persatuan baharu, sebaliknya merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan ekonomi ahli PEKIDA di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut beliau, platform tersebut akan menjadi medium untuk membina rangkaian usahawan yang saling menyokong, membuka peluang perniagaan dan pelaburan, berkongsi kepakaran serta meningkatkan daya saing ekonomi ahli.

“Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada semangat perjuangan, tetapi juga keupayaan ekonominya.

“Apabila ekonomi ahli diperkasakan, lebih banyak peluang dapat diwujudkan, lebih banyak kebajikan dapat dilaksanakan dan lebih luas manfaat dapat disalurkan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 PEKIDA Daerah Putrajaya bagi sesi 2025/2026 semalam.

Beliau turut menyeru ahli PEKIDA yang terlibat dalam bidang perniagaan agar bersama-sama menghidupkan PPPWP dengan menjadikan slogan “Ahli PEKIDA Menyokong Perniagaan Ahli PEKIDA” sebagai amalan dalam memperkukuh jaringan ekonomi organisasi.

Saiful Azril berkata, kekuatan sesebuah organisasi terletak pada kesatuan hati, ukhuwah yang kukuh serta kesediaan ahli untuk bergerak seiring mencapai matlamat bersama.

Mengulas mengenai Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung, beliau menyifatkan perbezaan pandangan yang dikemukakan ahli sebagai bukti PEKIDA mengamalkan budaya syura yang meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan individu.

“Berakhirnya mesyuarat bukan bererti selesainya tanggungjawab. Sebaliknya, ia merupakan titik permulaan kepada amanah yang lebih besar.

“Segala keputusan yang dipersetujui perlu diterjemahkan kepada tindakan dan dilaksanakan dengan penuh komitmen serta integriti,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan ahli supaya sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa termasuk perkembangan teknologi, ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Ilmu merupakan asas penting dalam melahirkan kebijaksanaan, kewibawaan dan keupayaan membuat keputusan yang memberi manfaat kepada organisasi serta masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut menggariskan lima agenda utama yang akan menjadi fokus PEKIDA Daerah Putrajaya iaitu memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan ahli, memperkasakan dakwah serta kebajikan masyarakat, membangunkan ekonomi ahli melalui PPPWP, melahirkan pelapis kepimpinan berintegriti dan memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.

“Segala keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan itu dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi serta memperkukuhkan peranan PEKIDA sebagai sebuah pertubuhan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button