Forum Putrajaya tekankan tadbir urus awal teknologi, elak risiko keselamatan
KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan peranannya sebagai hab wacana strategik serantau menerusi penganjuran Forum Putrajaya kelapan yang memberi tumpuan kepada cabaran keselamatan dalam era teknologi baharu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keperluan mengurus teknologi baharu secara proaktif amat penting bagi mengelakkan risiko besar terhadap keselamatan serantau.
Menurut baginda, kegagalan mengawal teknologi pada peringkat awal boleh membawa kesan jangka panjang yang sukar dipulihkan.
“Dalam era semasa, kita sering membina dahulu sebelum mentadbir, seperti mana bom atom diletupkan sebelum dunia mempunyai kerangka kawal selia.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan tersebut dengan kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan genetik dan teknologi lain,” memetik Awani Online.
Titah itu menegaskan kepentingan membangunkan kerangka dasar dan tadbir urus seiring dengan kemajuan teknologi bagi memastikan keselamatan dan kestabilan serantau terus terpelihara.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, landskap peperangan moden kini berubah selari dengan kemajuan teknologi serta penguasaan maklumat.
Beliau berkata, konflik masa kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada aset ketenteraan berteknologi tinggi semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan baharu termasuk penggunaan sistem kos rendah secara besar-besaran seperti dron.
“Pendekatan ‘attritable mass’ ini menjadikan perkakasan sebagai faktor sekunder, manakala keupayaan digital, data dan kecerdasan buatan menjadi tulang belakang kekuatan pertahanan,” katanya lagi.
Forum anjuran Kementerian Pertahanan melalui Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia itu diadakan bersempena Defence Services Asia 2026 dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








