Forum Perdana kupas krisis global seru umat Islam bersatu hadapi cabaran
PUTRAJAYA – Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung dari dewan solat utama Masjid Putra Putrajaya di sini semalam menampilkan perbincangan mendalam mengenai konflik global semasa serta kesannya terhadap ekonomi dan umat Islam.
Program yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menghimpunkan tokoh dalam bidang geopolitik dan ekonomi bagi mengupas cabaran global yang semakin meruncing.
Ahli Dewan Negara merangkap pakar sejarah dan politik Timur Tengah, Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan bin Othman berkata, konflik di Asia Barat bukan sekadar peperangan biasa, sebaliknya mempunyai akar sejarah panjang termasuk kesan penjajahan dan perpecahan dunia Islam.
Menurut Mohamad Redzuan, situasi semasa menunjukkan umat Islam berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan kepada negara-negara kecil sejak kejatuhan sistem khalifah, sekali gus memudahkan campur tangan kuasa besar.
“Perpecahan ini menyebabkan isu-isu besar seperti di Gaza, Rohingya dan Kashmir kurang mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa Malaysia turut menerima tempias krisis tenaga global meskipun merupakan negara pengeluar minyak.
Afzainizam berkata, peningkatan penggunaan bahan api yang kini mencecah sekitar 800,000 tan sehari berbanding pengeluaran kira-kira 400,000 tan memaksa negara bergantung kepada import.
“Sebarang gangguan di laluan utama seperti Selat Hormuz akan memberi kesan langsung kepada harga minyak dan kos operasi, termasuk pengangkutan serta insurans,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan jumlah kenderaan di negara ini turut menyumbang kepada lonjakan permintaan bahan api, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap ekonomi domestik apabila berlaku ketidaktentuan harga global.
Forum itu turut menekankan keperluan umat Islam kembali kepada prinsip syariah dengan mengamalkan kesederhanaan, berjimat cermat serta memperkukuh kesatuan dalam menghadapi ujian global.
Program berkenaan diadakan bersempena solat hajat perdana bagi memohon kesejahteraan negara dalam menghadapi krisis tenaga dunia yang semakin mencabar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















