
Kuala Lumpur jadi tuan rumah forum media dan pemikir ASEAN-China, perkukuh hubungan serantau
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani melalui kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Xinhua, telah berjaya menganjurkan Forum Media dan Pemikir ASEAN-China di sini hari ini.
Forum penting itu menghimpunkan pelbagai pihak dengan satu matlamat utama: memperkukuh kerjasama serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah merasmikan forum tersebut, sekaligus menekankan komitmen padu kerajaan Malaysia dalam menggalakkan dialog serantau dan kerjasama multilateral.
Fadhilah berkata, pandangan serta sumbangan daripada para delegasi adalah amat penting dalam membentuk hala tuju hubungan ASEAN-China, termasuk usaha berterusan dalam menangani cabaran di peringkat serantau dan global.
“Kerjasama kita mesti sentiasa dinamik, berwawasan dan memberi impak yang besar,” katanya di sini hari ini.

Forum yang bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China” itu berperanan sebagai platform strategik bagi pihak media dan kumpulan pemikir untuk meneroka peluang bagi penglibatan serantau yang lebih erat.
Ini selaras dengan teras kesejahteraan yang diutamakan dalam Malaysia Madani iaitu memupuk budaya ilmu dan meraikan kepelbagaian pandangan.

Forum itu juga mencatatkan kejayaan dari segi penyertaan, dengan kehadiran kira-kira 250 wakil yang terdiri daripada lebih 160 organisasi media, pemikir, agensi kerajaan dan syarikat dari negara-negara ASEAN dan China.
Para peserta terlibat secara aktif dalam perbincangan mendalam mengenai tiga topik utama, semuanya bertujuan untuk memperkukuh komitmen terhadap visi bersama demi kemakmuran serantau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong; Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








